Festival Gempita Hulubalang Melayu | Segamat, Johor

Monday, June 15, 2015

Assalamualaikum. Seni silat merupakan salah satu seni mempertahankan diri masyarakat melayu sejak dari ribuan tahun dulu. Terdapat lebih 8,000 jenis silat di seluruh kepulauan Melayu yang merangkumi Indonesia, Borneo dan Singapura. Pada 12 Jun lepas, Ayue berpeluang melihat sendiri persembahan seni silat melayu di Festival Gempita Hulubalang Melayu (FGHM) yang diadakan di Dataran Segamat, Johor. 


Program ini dianjurkan oleh Pertubuhan Komuniti Belia 1 Malaysia. Ia melibatkan seramai 500 ahli daripada 12 gelanggang silat yang terdapat di daerah Segamat, Ledang dan Muar. Walaupun kini zaman sudah serba moden, wujudnya pasukan polis, tentera dan sistem perundangan yang baik, namun persiapan untuk melindungi diri dan keluarga perlu ada dalam diri masyarakat. Jadi, tujuan festival ini diadakan adalah untuk menarik golongan muda mendalami ilmu persilatan Melayu dan mengubah perspektif mereka yang hanya menganggap silat sebagai persembahan. 

Festival ini dimulakan dengan konvoi bermotor Sungai Buloh Bikers Club dan Segamat Bikers Club. Kemudian disululi dengan perarakan peserta silat yang lengkap dengan busana persilatan Melayu dari Jalan Awang menuju ke Dataran Segamat diiringi oleh paluan kompang dengan lagu irama persilatan. Perarakan ini yang diketuai oleh Nasir Bilal Khan, Ruzaidi Abd Rahman dan Mahaguru Silat ini terbuka kepada semua penggiat seni silat, orang awam dan pelajar asalkan mereka menepati etika pakaian persilatan melayu. 



Kemudian kesemua peserta mengambil tempat di Dataran Segamat dan istiadat pembukaan gelanggang dimulakan oleh wakil dari PESAKA Segamat. Suasana di Dataran Segamat sangat meriah kerana ramai pengunjung yang hadir bukan sahaja dapat melihat persembahan-persembahan silat 12 perguruan, malah mereka juga dapat melihat tempur mahaguru, persembahan silat artis, persembahan tari hulubalang serta pameran dan senjata utama dan jualan busana. 


  


Antara perguruan silat yang turut serta adalah :

1. Silat Sendeng
2. Silat Gayong
3. Silat Singkalong Helang Putih
4. Silat Cimandi Sunting dan Mega
5. Silat Harimau
6. Silat Cimandi
7. Silat Lok 9
8. Silat Jawa
9. Gerak 1 Betawi
10. Silat Gayong Kalimah Selatan
11. Silat Berembang Warisan
12. Silat Gerak Lincah


Kehadiran artis tempatan seperti Nasir Bilal Khan, Ruzaidi Abd Rahman, dan Azlan Komeng turut memeriahkan festival ini. Menariknya, peserta-peserta ini terdiri daripada pelbagai peringkat umur, Ayue dimaklumkan bahawa terdapat juga peserta yang berusia 80 tahun tetapi masih gagah membuat persembahan silat. Ada juga persembahan silat dari pelajar Tadika KEMAS yang sangat mencuit hati.



Antara persembahan yang paling mendapat sambutan adalah persembahan Pertubuhan Seni Silat Pangima Bugis kerana menengahkan bakat seorang kanak-kanak kecil berusia 3 tahun dengan aksi silat perseorangan di tengah gelanggang. 


Sesi petang ini diakhiri dengan gambar berkumpulan kesemua perguruan yang terlibat.


Untuk sesi malam pula dimulakan dengan gimik perbarisan hulubalang memasuki gelanggang dengan membawa obor. Kemudian pengunjung dapat melihat persembahan seni tari festival, persembahan tempur mahaguru dari PESAKA Segamat, dan persembahan tempur bersenjata dari semua gelanggang. Ayue pasti kesemua mereka yang hadir kecut pecut melihat senjata yang tajam dan mengeluarkan percikan api apabila pesilat bertempur. Persembahan yang sangat hebat dan mengagumkan.



Mahaguru dan artis jemputan juga turut membuat persembahan aksi silat masing-masing. Walaupun festival ini berlanjutan hingga lewat malam, namun pengunjung yang hadir tetap tunggu hingga ke istiadat penutup gelanggang.  


Ini merupakan kali pertama Ayue ke festival seperti ini. Ia sama sekali telah merubah perspektif Ayue terhadap silat. Jika dulu Ayue memandang silat sebagai sesuatu yang membosankan dan sudah ketinggalan zaman. Festival ini telah mengubah pandangan tersebut. Silat merupakan seni mempertahankan diri yang sangat menarik untuk diceburi oleh masyarakat kini. Ia penting untuk memberi pendedahan terhadap masyarakat kini supaya TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA.


Festival Gempita Hulubalang Melayu ini dirasmikan oleh YB Norshidah Bt Ibrahim - ADUN Buloh Kasap yang mewakili Datuk Ayub bin Rahmat - ADUN Kemelah.


"Gerak Melayu..Kesinambungan Warisan"


xoxo,


post signature

You Might Also Like

2 comments

  1. Rajin Ayue join tengok persembahan silat ni.. Saya pun suka tengok festival macam ni, walaupun tak pandai bersilat...

    ReplyDelete

Youtube Channel

Instagram

Facebook Page